1. Di hadapan Tuhan kita lafazkan berbagai-bagai perkataan, misalnya, Allahu Akbar, tetapi tidak faham pun apa yang kita lafazkan itu. Kalaupun faham, tidak terasa pula bahawa Allah itu benar-benar Maha Besar di hati kita. Kita tidak maksudkan dan kita tidak rasa apa yang kita kata. Kita hanya berlakon dan berpura-pura di hadapan Tuhan.
2. Dalam masa kita sedang menyembah Tuhan pula, jasad kita berdiri,
Rukuk dan sujud, tetapi hati dan jiwa kita entah ke mana-mana. Allah menunggu kita untuk disembah dan untuk menerima segala pengaduan tetapi kita tidak hadir. Kita wakilkan sahaja kepada jasad dan tubuh badan kita yang tidak tahu dan tidak faham apa-apa. Jasad dan jawarih kita sahajalah yang menyembah Tuhan. Sudahlah di luar sembahyang kita tidak pernah bersama Tuhan, ini sedang menyembah Tuhan dalam sembahyang pun kita gamak tinggalkan Tuhan untuk berfoya-foya dengan hal-hal dunia. Belum pernah lagi kita dengar ada orang yang mengadap raja atau sultan dan sedang dia mengadap itu, langsung tidak menghiraukan raja malah dia tinggalkannya sultan begitu sahaja untuk pergi ke kedai membeli rokok. Tapi dengan Tuhan, semasa dalam sembahyang, inilah akhlak dan perangai kita.
3. Dalam sembahyang, Allah bukan hendak berhadapan dengan jasad kita tetapi dengan roh atau hati kita. Tetapi roh kita jarang hadir. Ramai orang yang boleh membawa jasad dan lidah mereka untuk bersembahyang tetapi tidak ramai yang mampu membawa roh dan hati mereka untuk bersembahyang sama. Demikianlah kita orang awam, selalu sahaja tidak berakhlak, tidak beradab dan tidak bersopan dengan Tuhan. Kalau ini berlaku di luar sembahyang pun sudah dianggap berat, inikan pula ia berlaku ketika kita sedang mengadap dan menyembah Tuhan. Lagi-lagilah ianya dianggap berat. Patut sangatlah kita beristighfar dan meminta ampun selepas memberi salam!
No comments:
Post a Comment