Rasulullah S.A.W. tercinta

Rasulullah S.A.W. tercinta

Friday, 16 January 2015

Dakwah @ Daqwah 201

Kewajipan Berdakwah






Alhamdulillah, hari ini kita sebagai orang-orang Islam sedar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja tetapi adalah untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah lalai dari tanggungjawab yang diamanahkan Allah swt kepada kita untuk menyampai dakwah Islam kepada mereka yang belum terima Hidayah lagi. Allah swt mencela golongan seperti ini dalam Surah Al-Baqarah 2:140
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan”.
Na’uzubillah, janganlah kita termasuk dalam golongan ini. Allah swt memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam di dalam surah Ali Imran 3:110
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia”.
Kitapun rasa sangat seronok mendengarkan ayat ini. Namun begitu kita lupa bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggungjawab. Lagi besar suatu penghormatan maka lagi beratlah tanggungjawab yang harus dipikul. Tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah swt kepada kita orang-orang Islam yang melayakkan kita digelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama;
“(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah”.
Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar maaruf nahi munkar’ iaitu melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak.
Allah swt mengatakan di dalam surah Al-Asr 103:1-3
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”.
‘Berpesan-pesan dengan kebenaran’ bermakna melakukan ‘amal maaruf nahi munkar’ yakni melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggungjawab melakukan dakwah bukan tugas ustaz, imam atau Jabatan Agama sahaja tetapi adalah tanggungjawab setiap orang Islam.
Di dalam Khutbah terakhir, Rasulullah saw telah bertanya kepada para sahabat yang tidak kurang dari 110,000 orang “Adakah aku telah sampaikan pesanan Islam” dan para sahabatpun secara serentak menjawab “Ya Rasulullah! Kau telah sampaikan”. Maka Rasulullah saw seterusnya memerintahkan mereka “Siapa-siapa yang hadir di sini, sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir”. Para sahabatpun faham akan perintah Rasulullah saw lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan dakwah Islamiah. Maka Islam telahpun sampai ke Negeri Cina, India, Sepanyol dan seterusnya ke Malaysia.

No comments:

Post a Comment